Monday 24 August 2015

DOSA BESAR



Salaam alaikum semua 💕


Sebelum mulakan usrah, mari kita sama-sama baca dua'ni. 👇

اللهم إني أعوذ بك من علم لا ينفع

(allahumma inni a'uzubika min 'ilmin laa yanfa')

maksudnya: Ya Allah jauhkanlah kami dari ilmu yang tidak bermanfaat.



Bismillah~

Pada malam ini, kita akan bincangkan tentang dosa-dosa besar.

"Jika kamu menjauhi dosa-dosa besar di antara dosa-dosa yang dilarang kamu mengerjakannya, nescaya Kami akan menghapuskan kesalahan (dosa-dosa kecil) dan memasukkan kamu ke dalam tempat yang mulia (syurga)."
-AnNisa' ayat 31.


Dosa-dosa besar merangkumi 70 perkara sebenarnya, akan tetapi atik akan explain lima sahaja kali ini.
Lima perkara ini adalah perkara-perkara yang dekat dengan hati kita sebab kita masih nampak ramai yang melakukannya. Nauzubillahminzalik :'(


(1) Menyekutukan Allah

🌈 Mempersamakan sesuatu dengan Allah, serta menyembah kepada selain Allah.
Misalnya menyembah kepada batu-bata, pohon-pohon matahari dan menyembah kepada Nabi, orang yang mulia orang yang berkuasa, menyembah binatang atau yang selain dari semua itu.

"Sesungguhnya Allah tidak mengampuni dosa syirik, dan Dia akan mengampuni segala dosa selain syirik itu bagi siapa yang dikehendakiNya."
-AnNisa ayat 48

Syirik ini bila mana kita mati dalam keadaan kesyirikan, maka tertutuplah pintu taubat dan dia akan kekal dalam neraka untuk selamanya.
(Refer to surah Al-Maidah ayat 72)

Akan tetapi, taubat seseorang itu masih diterima selepas dia jatuh ke lembah kesyirikan, selagi mana dia hidup.

"Sesungguhnya Allah akan menerima taubat seorang hamba selagi nyawanya belum sampai di halqum (yakni nyawanya berada di penghujung)”.
(HR Imam at-Tirmizi. Kata at-Tirmizi; hadis ini hasan gharib)

Keadaannya sama seperti orang yang asalnya kafir, lalu memeluk Islam dan mati di dalam Islam. Sekalipun ia pernah mengkufurkan Allah, tetapi keislamannya telah menutup dosa kekufuran silamya. Begitu juga, dengan orang yang pernah mensyirikkan Allah, kemudian ia bertaubat dan kembali kepada Tauhid, maka taubat dan tauhidnya itu akan menutup dosa syirik yang pernah ia lakukan.

2) Meninggalkan solat

🌈 Solat itu diumpamakan seperti pertalian hamba dengan Tuhannya, yang mana orang yang memutuskan pertalian itu dikira berdosa besar, apatah lagi jika dia mengingkari kewajibannya dan memperkecilkan orang yang mengikat pertalian tersebut, maka ianya dianggap kafir.

"Yang membezakan antara seorang hamba (yang mukmin) dengan seorang kafir, iaitu meninggalkan solat."
(Hadith riwayat Muslim & Ahmad)

Menurut sebahagian ulama', (dan juga berdasarkan beberapa hadis nabi)
orang yang meninggalkan sholat selalunya kerana disibukkan oleh hartanya, maka pada hari kiamat akan dihimpunkan bersama qarun (orang kafir yang terkaya)
 dan bagi sesiapa yang disibukkan dengan jabatannya (atau pangkat), maka akan dihimpunkan bersama fir'aun.
Dan bagi sesiapa yang disibukkan dengan perniagannya, maka akan dihimpukan bersama Ubai bin Khalaf (pedagang kafir yang durjana dari Mekkah)

 Dan apa pun alasan seseorang itu bilamana dia tinggalkan solat dengan sengaja, maka kafirlah dia.

"Barangsiapa meninggalkan solat dengan sengaja, maka ianya kafir secara terangan."
(Riwayat Muslim)

(3) Derhaka kepada ibu-bapa

🌈 Allah sangat murka kepada golongan yang menderhaka kepada ibubapa mereka lebih dari menderhaka kepada ZatNya sendiri. Sebab bilamana menderhaka kepada Allah, ada harapan mendapat pengampunan darinya. Namun menderhaka kepada ibubapa tidak akan terampun selagi mana kedua-duanya tidak mengampunkan terlebih dahulu.

Dan selari dengan suruhan Allah "walbiwaalidaini ihsaana" (ayat 24 surah Al-Isra') yang bermaksud berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa kamu. Maka dengan itu, hendaklah kamu menurut perintah keduanya itu, dan jangan menyentuh perasaan hati kecilnya, dan hendaklah kamu merendahkan diri dan melahirkan belas kasihan terhadap keduanya.

Even dalam Al-Quran, Allah pesan kita untuk  berkata 'ah!' sekalipun dengan ibubapa kita. Maksudnya janganlah berkasar dengan bercakap dengan nada suara yang tinggi dan kuat. Kalau "Ah" je dah tak boleh, apatah lagi "malaslah!" "ish mak ni!" "bebel je tau orang tua ni" dan sebagainya.

"Redha Allah terletak pada redha ibubapa, dan murkanya Allah terletak pada kemurkaan ibubapa."
(Riwayat at-tirmidzhi)
Pernah dengar kan hadith ini? Selagi mana apa yang disuruh oleh ibubapa kita bukanlah dari kalangan perkara maksiat, maka kita perlulah sedaya upaya untuk menurutnya. Sayangi mereka dengan kasih sayang, gembirakan hati mereka, cium dan dakaplah mereka selalu sebab mereka merupakan salah satu 'pintu' menuju ke Syurga Allah.

(4)  Zina

🌈 "Janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu seburuk-buruk perbuatan, dan sekeji-keji jalan."
(Al-Isra ayat 32)

Zina mempunyai banyak cabang. Akan tetapi, zina dimana kita bersetubuh dengan seseorang di luar pernikahan itulah yang dikatakan seburuk-buruk jalan dan perbuatan. Oleh itu, perkara-perkara yang boleh membawa kita ke 'destinasi' buruk ini jugalah yang wajib kita jauhi;
نظرة فابتسامة فسلام فكلام فموعد فلقاء فزناء فنار
"Pandang2, senyum2, memberi salam, bersembang, buat temu janji, kemudian berjumpa dan akhirnya berzina. Dan akhirnya kita dicampakkan ke dalam api neraka."

Hukuman seperti yang kita maklum bagi penzina lelaki/perempuan yang belum berkahwin, adalah 100 kali sebatan.
Bagi yang sudah berkahwin, hukuman rejam yakni dilontari batu hingga mati.

Dan jika hukuman itu tidak dilaksanakan ketika di dunia dan mereka mati dalam keadaan tidak bertaubat, maka mereka akan disiksa dengan cambuk di dalam api neraka.

Semoga Allah lindungi kami semua dari dosa berzina ini dan memelihara hati kami dalam apa jua keadaan. allahumm ameen!

(5) Sombong dan bongkak
🌈  "Tidak akan memasuki syurga seseorang yang di dalam hatinya ada sekecil atom dari sifat sombong."
(Hadith riwayat Muslim)

Syirik juga jatuh dalam kategori syirik yang kecil.

Orang yang dikatakan sombong adalah yang 1) bangga dengan ilmunya, dan ilmunya itu tidaklah bermanfaat bagi dirinya.
Yang kedua pula 2) Yang sombong dalam percakapan, pakaian, tingkah laku dan juga hartanya.
Orang-orang seperti ini merupakan golongan yang ternyata menyanjung tinggi diri sendiri dan senantiasa memikirkan dirinya adalah yang terbaik. Selalu memandang rendah dan memperkecilkan orang lain.

Orang yang pertama sekali menyombongkan diri adalah Iblis. Dia ingkar terhadap perintah Allah untuk bersujud kepada Nabi Adam Alaihissalam. Kata iblis, Adam diperbuat daripada tanah sedangkan dirinya dari api, dan memikirkan api itu lebih mulia dari tanah. Maka iblis dan anak buahnya dikutuk Allah sehinggalah hari kiamat.

Dan sekarang ini, iblis pula menghasut anak Adam untuk menyombong diri hinggakan kita mengikut jejak langkahnya. Oleh itu, hendaklah kita berwaspada dari sifat sombong, bermegah diri ini kerana ini semua adalah dari sumber yang sama iaitu, si iblis itu sendiri.